| |
| MOHD. Ali Rustam melihat beca yang menggunakan tenaga solar di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, semalam. |
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, teknologi yang akan diterokai oleh kerajaan negeri akan memberi faedah besar dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dan menjamin kualiti alam yang sekitar yang lebih mampan.
Menurutnya, apa yang lebih penting menggunakan teknologi tersebut kerana ia dapat menangani masalah alam sekitar, pemanasan global dan pertumbuhan ekonomi.
“Tempoh 10 tahun menjadi sasaran untuk Melaka menjadi bandar teknologi hijau atau go-green adalah selaras dengan dasar dan penekanan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Teknologi ini sebenarnya berpotensi besar dalam memacu pembangunan negara. Bagi industri yang membangunkan produk menggunakan teknologi hijau mampu menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Jika kita mampu mendapat pengiktirafan sebagai negeri maju 2010 daripada Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) tidak mustahil kita mampu mencapai sasaran bandar teknologi hijau dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena perisytiharan Melaka Maju 2010 di sini, hari ini.
Majlis perisytiharan Melaka Maju 2010 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri melalui persidangan video secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke Stadium Hang Jebat, malam esok.
Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri telah mengorak langkah awal apabila mewujudkan Melaka World Solar Valley di Taman Perindustrian Rembia, Alor Gajah, di sini.
Katanya, ia menempatkan kilang pemasangan solar panel terbesar di dunia yang melibatkan pelaburan sebanyak RM2 bilion.
Di samping itu, kata Mohd. Ali, cabaran lain yang akan dihadapi oleh kerajaan negeri selepas diisytiharkan negeri maju 2010 adalah merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar.
“Pada 1999, jurang pendapatan penduduk luar bandar adalah RM1 berbanding RM1.47 di bandar tetapi pada 2009 kita berjaya mengurangkan jurang perbezaan itu kepada RM1.37 di bandar,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kedudukan negeri ini sebagai negeri bandar apabila kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf perbandaran, jurang pendapatan itu dapat disamakan iaitu RM1 menjelang 2020.
Diakses pada 22 Disember 2010 di http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1020&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm&arc=hive
Tiada ulasan:
Catat Ulasan