MELAKA 5 Okt. - Matlamat Melaka mencapai status negeri maju tidak tercapai sepenuhnya sekiranya pembangunan yang dirancang tidak meliputi aspek modal insan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kemajuan yang dicapai Melaka pada hari ini tidak membawa sebarang makna jika pencapaian pembangunan dinilai pada bangunan tinggi semata-mata.
Katanya, keberkesanan program modal insan yang dilaksanakan perlu dinilai dan diberi perhatian dalam merancang sesuatu pembangunan.
"Ia penting dan wajar diberi perhatian kerana kita tidak mahu program modal insan ini ketinggalan dalam gerak kerja perlaksanaan pembangunan yang diatur," katanya di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, pencapaian modal insan dianggap penting dalam merangka program pembangunan bagi dijadikan garis panduan dalam kehidupan.
Katanya, biarpun setakat ini di Melaka, kira-kira 40 peratus mereka yang berumur antara 17 dan 23 tahun memiliki kelulusan diploma dan ke atas namun, masalah sosial masih berlaku melibatkan golongan peringkat umur tersebut.
Ujar Mohd. Ali, selain masalah sosial, Melaka Maju 2010 juga menumpukan usaha mengatasi masalah kelemahan pembaikan infrastruktur terutama berkaitan aspek kebersihan sampah-sarap yang masih berlaku di sesetengah tempat.
"Sejajar dengan matlamat itu, kita akan memperkuatkan program kitar semula yang kini hanya berada pada tahap lima peratus sampah dikitar semula," katanya.
Sementara itu, mengenai sambutan pengisytiharan Melaka Maju 2010, katanya, program itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Oktober ini, pukul 8.10 malam.
Katanya, pelancaran program oleh Perdana Menteri akan dibuat menerusi sidang video dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
"Pada masa yang sama, kita akan adakan majlis sambutan di Stadium Hang Jebat yang akan dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan kira-kira 50,000 penduduk negeri ini," katanya.
Diakses pada 22 Disember 2010 di http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1006&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm&arc=hive
Tiada ulasan:
Catat Ulasan