Selasa, 21 Disember 2010

Patuhi bahasa Melayu di papan tanda, iklan

ARKIB : 06/10/2010

MELAKA 5 Okt. - Kerajaan negeri memberi tempoh dua minggu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk membetulkan mana-mana papan tanda atau papan iklan yang dikenal pasti tidak mengunakan bahasa Melayu yang betul.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, PBT yang berkaitan diberi tempoh berbuat demikian sebelum berlangsungnya sambutan pengisytiharan Melaka Maju 2010 pada 20 Oktober ini.

Menurutnya, ketika ini, masih terdapat papan tanda termasuk papan iklan yang dipasang oleh pihak swasta menyalahi penggunaan serta tatabahasa bahasa Melayu.

"Kita dapati masih banyak papan tanda tidak menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul.

"Lebih dikesalkan, perkara ini telah dimaklumkan di kalangan PBT namun tidak diendah seterusnya tiada tindakan sewajarnya diambil bagi membetulkan kesalahan penggunaan bahasa yang digunakan pada papan tanda," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri anjuran Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, di sini semalam.

Menurutnya, tindakan memberi tempoh dua minggu kepada PBT terlibat bagi membetulkan kesilapan penggunaan bahasa itu selaras dengan usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran negara.

"Saya memberi tempoh dua minggu kepada PBT untuk menyelesaikan masalah ini sebelum pengisytiharan Melaka Maju.

"Papan tanda atau iklan berkenaan haruslah mengikut sistem ejaan, tatabahasa dan istilah yang dikeluarkan pihak DBP," kata beliau.

Kata Mohd. Ali, kesilapan penggunaan bahasa Melayu yang ketara pada papan tanda membuktikan sikap tidak prihatin masyarakat terhadap usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Sehubungan itu, katanya, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bahasa kebangsaan, kerajaan negeri memilih Oktober sebagai bulan bahasa kebangsaan untuk setiap tahun.

"Kita menggunakan tema '1 bahasa, 1 bangsa, 1 negara' dalam usaha kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai teras pertama program membina negara bangsa," katanya.

Bagi tujuan itu, kata beliau, sepanjang bulan ini, segala kegiatan bahasa Melayu diperluaskan bagi menyemarak penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

"Bahasa kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum sekali gus menjadi sumber perpaduan yang penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia," katanya.

Diakses pada 22 Disember 2010 di http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1006&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm&arc=hive

Tiada ulasan:

Catat Ulasan