| |
| PERTUNJUKAN bunga api pada sambutan Perisytiharan Melaka Maju 2010 di Stadium Hang Jebat, Krubong, semalam. - utusan/GAIE UCHEL |
Majlis perisytiharan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sidang video secara langsung dari bilik Melur, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke Stadium Hang Jebat.
Turut hadir pada sidang video tersebut di PWTC ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN).
Sidang video secara langsung selama tiga minit itu turut dipaparkan di dua skrin gergasi sambil disaksikan lebih 50,000 rakyat yang berkampung di stadium ini sejak pukul 4 petang.
Majlis penuh gilang-gemilang itu turut disaksikan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman.
Turut hadir Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.
Peristiwa penuh bersejarah perisytiharan Melaka Negeri Maju 2010 berlangsung tepat pukul 8.10 malam.
Sebaik Perdana Menteri mengiktiraf Melaka Negeri Maju 2010 melalui sidang video, Stadium Hang Jebat bergema dengan sorakan orang ramai sambil disertai pertunjukkan bunga api dan paluan kompang 5,000 peserta dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Acara diteruskan apabila Mohd. Ali mengisytiharkan lagu Melaka Maju 2010 dengan nyanyian yang diiringi oleh 210 orang koir daripada Universiti Lim Kok Wing dan 800 penjawat awam dari seluruh jabatan kerajaan negeri Melaka.
Memeriahkan lagi sambutan ialah pertunjukan kebudayaan 3,800 pelajar dari 20 buah sekolah menengah seluruh negeri ini selain persembahan lapan artis tempatan termasuk Hattan, Ramlah Ram, Rabbani, Aizat (Akademi Fantasia) dan Black (Mentor).
Selain meraikan sambutan bersejarah itu, orang ramai berpeluang memenangi lebih 5,000 hadiah disediakan dengan cabutan hadiah utama berupa sebuah rumah teres setingkat bernilai RM118,000.
diakses pada 22 Disember 2010 di http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1022&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm&arc=hive
Tiada ulasan:
Catat Ulasan