JASIN 17 Okt. - Pengiktirafan Melaka sebagai negeri maju pada 20 Oktober ini bukan bermakna seluruh kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini perlu berasa selesa dan terus dibuai mimpi atas pencapaian tersebut.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pengiktirafan itu sepatutnya menjadi suntikan semangat kepada seluruh kakitangan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pada masa depan.
Menurutnya, mereka tidak perlu leka di atas pengiktirafan tersebut sebaliknya perlu berganding bahu dan menggembleng tenaga bagi memastikan pembangunan Melaka berada di landasan yang tepat.
''Pengiktirafan ini hanya bersifat sementara kerana yang lebih penting banyak lagi tindakan perlu dibuat bagi mengekalkan Melaka sebagai negeri maju selepas ini.
''Antara perkara yang perlu diberikan perhatian untuk terus memajukan negeri ini adalah aspek ekonomi, sosial, infrastruktur alam sekitar dan pentadbiran," katanya.
Beliau berucap selepas menamatkan Kayuhan Melaka Maju 2010 sejauh 20.10 kilometer bermula dan berakhir di Kampung Parit Sidang Seman, Sungai Rambai di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.
Program yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai itu disertai kira-kira 2,310 orang sempena sambutan Melaka Maju 2010 pada Rabu ini.
Lebih menarik, program itu mendapat pengiktirafan Malaysia Books of Records (MBR) sebagai konvoi berbasikal mengharungi laluan terpanjang sejauh 20.10 kilometer.
Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri akan memastikan pertumbuhan ekonomi di negeri ini terus kukuh dalam menghadapi berbagai cabaran dan rintangan.
''Ini termasuk cabaran untuk mewujudkan suasana ekonomi yang kondusif, meningkatkan daya saing melalui kecekapan perkhidmatan awam, merancakkan pelaburan dan memperteguhkan sosioekonomi serta sosiopolitik," katanya.
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa lega apabila 29 daripada 32 indikator kriteria status negeri maju telah dipenuhi dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpangkalan di Paris, Perancis.
''Melaka mencapai status negeri maju 2010 dan pencapaian yang diperolehi setakat ini adalah setanding dengan pencapaian negara-negara maju yang lain," ujarnya.
Beliau percaya dengan kejayaan itu rakyat akan terus menyokong usaha kerajaan membangunkan negeri dan dapat menerima pengiktirafan yang diberikan oleh OECD.
Sehubungan itu, beliau turut mengharapkan penglibatan seluruh rakyat untuk memenuhi setiap ruang di Stadium Hang Jebat sempena pengisytiharan Melaka Maju 2010, Rabu ini.
Diakses pada 22 Disember 2010 di http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1018&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm&arc=hive
Tiada ulasan:
Catat Ulasan